Sarawak Catat Hasil Pendapatan RM 11.9 Bilion Tahun 2022, Hasil Tertinggi Pernah Dicapai

KHAMIS, 2 FEBRUARI 2023

KUCHING: Sarawak mencatatkan hasil pendapatan sebanyak RM11.9 bilion bagi tahun 2022.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, hasil pendapatan berkenaan adalah hasil tertinggi yang pernah dicapai oleh Sarawak.

Menurut beliau, prestasi positif bagi tahun kewangan 2022 itu menyaksikan peningkatan sebanyak 65 peratus berbanding 2018.

“Hasil pendapatan Sarawak adalah daripada empat kategori utama iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil, serta geran dan pembayaran balik Persekutuan.

“Hasil cukai menyumbang RM6.7 bilion atau 56 peratus daripada jumlah hasil, manakala kategori lain menyumbang 44 peratus.

“Di bawah kategori hasil cukai, Cukai Jualan Negeri (SST) menyumbang RM5.6 bilion atau 84 peratus daripada jumlah hasil cukai yang dikutip. 

“Produk bercukai di bawah SST, antara lain, terdiri daripada produk minyak dan gas, produk kelapa sawit dan aluminium.

“Prestasi yang lebih baik dalam kutipan SST adalah disebabkan oleh harga pasaran yang lebih tinggi pada 2022 untuk produk minyak dan gas serta produk kelapa sawit.

“Sebelum pengenalan SST ke atas produk minyak dan gas, khususnya bagi tahun kewangan 2018, hasil yang dikutip ketika itu ialah RM7.2 bilion. 

“Oleh itu, prestasi hasil bagi tahun kewangan 2022 menyaksikan peningkatan sebanyak 65 peratus berbanding 2018,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Khamis.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, kerajaan Sarawak akan terus mengkaji dan meneliti pelbagai inisiatif utama untuk meningkatkan hasil Sarawak melalui meningkatkan, meluaskan dan mempelbagaikan sumber pendapatan.

Beliau menambah, pelbagai inisiatif telah diperkenalkan pada tahun 2022 iaitu seperti menguatkuasakan dasar dividen Negeri ke atas Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, dan mengenakan SST ke atas arang batu.

“Usaha itu adalah penting kerana Kerajaan Sarawak terus bersungguh-sungguh meneruskan agenda pembangunannya dan untuk Sarawak menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030 seperti yang digariskan dengan jelas dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030,” ujar beliau.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato’ Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol, dan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.-Edisi UKAS

add comment