KHAMIS, 2 FEBRUARI 2023
BINTULU: Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bercadang untuk memperkasakan sektor kenderaan berat di negeri ini dengan mewujudkan terminal lori khas.
Menurut Menterinya Dato Sri Lee Kim Shin, terminal pertama seumpamanya akan dibina di bahagian Miri dalam masa terdekat dengan pihak kementerian telah berjaya mendapatkan kelulusan pembiayaan untuk projek itu.
“Terminal sebegini akan dibina di beberapa bahagian utama di Sarawak seperti Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.
“Ia akan memudahkan urusan pengendalian kenderaan berat untuk menjadi lebih cekap pada masa depan,” katanya ketika merasmikan ‘The Lab On Weight Restriction Order: Solution To Harmonise Operation Of Heavy Vehicles In Sarawak’ di Bintulu pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu turut memberitahu, kementeriannya akan berusaha menangani segala masalah yang dihadapi sektor pengangkutan berat secara menyeluruh bagi memperkasakan sektor tersebut.
Sementara itu, lab anjuran MOTS dengan kerjasama Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) itu bertujuan untuk mengkaji Perintah Sekatan Berat semasa dan peraturan mengenai kenderaan berat, garis panduan keselamatan dan juga prosedur yang berkaitan dengan keupayaan struktur jalan, jambatan dan pembentung di Sarawak.
Lab tersebut dijangka menghasilkan penyelesaian dan cadangan untuk mengatasi cabaran yang dihadapi oleh pemain industri logistik berkaitan sekatan berat serta kapasiti jalan dan jambatan di negeri ini di mana kajian semula sekatan berat semasa adalah penting untuk memudahkan dan meningkatkan aktiviti perniagaan logistik serta mengurangkan kos pengangkutan barangan dan kos menjalankan perniagaan di Sarawak.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, ADUN Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming dan Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti. -Edisi UKAS