JUMAAT, 3 FEBRUARI 2023
BETONG: Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu turun padang pada Isnin untuk bertemu rakyat di kawasannya bagi menyelesaikan beberapa perkara berbangkit.
Beliau disertai Jurutera Bahagian Jabatan Bekalan Air dan Luar Bandar (JBALB) Bahagian Betong Tay Chiaw Teck menuju ke Rumah Budol, Seruai, Spaoh bagi membincangkan pemindahan batang paip utama dari lokasi asal di bahagian hadapan ke bahagian belakang rumah panjang.
Ia bagi mengelak paip tersebut terjejas oleh projek yang sedang dalam pelaksanaan iaitu menaiktaraf jalan kampung di bahagian hadapan rumah panjang tersebut.
Beliau kemudiannya meneruskan lawatan ke Rumah Kemarau, Munggu Prin, Debak susulan aduan penduduk mengenai jajaran batang paip di kawasan rumah panjang tersebut kini kebanyakan tertimbus di bawah kediaman ekoran kerja-kerja mengubah suai rumah dari masa ke semasa.
Hasil pemeriksaan oleh pihak JBALB, dicadangkan satu jajaran batang paip yang baru perlu dibina dan kerja-kerja tersebut dirancang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Pada sebelah petang pula, beliau disertai Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh Lister Clement Guwie dan Penolong Jurutera Awam dari Jabatan Pengairan dan Saliran Bahagian Betong Rosli Tila mengadakan tinjauan berkaitan masalah benteng rosak di Kampung Manggut, Spaoh.
Hasil perbincangan, pihak agensi akan melaksanakan kerja-kerja baik pulih sebagai penyelesaian jangka pendek manakala untuk jangka panjang dirancang kerja-kerja menaiktaraf. – EDISI UKAS