Fahami Erti Amalan Budaya Perayaan Masyarakat Sarawak

JUMAAT, 3 FEBRUARI 2023

MIRI: Generasi muda perlu sentiasa peka dan memahami erti sebenar setiap amalan budaya perayaan yang diraikan oleh setiap masyarakat di negeri ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato’ Sri Lee Kim Shin berkata, mereka juga perlu memastikan perpaduan kaum dan keharmonian kepelbagaian etnik dan budaya di Sarawak terus berkekalan.

“Ia adalah supaya semua rakyat negeri ini dapat hidup bersama dan meraikan pelbagai jenis perayaan bersama-sama dengan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya semasa berucap merasmikan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina di SJKC Chung Hua Tudan pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menambah, persefahaman yang tinggi dan saling menghormati budaya serta adat resam satu sama lain dalam kalangan rakyat Sarawak adalah kunci utama kepada perpaduan negeri ini yang membolehkan rakyatnya meraikan serta menikmati kepelbagaian budaya dan perayaan tanpa ada masalah.

“Sarawak yang dikenali sebagai Bumi Kenyalang dan dihuni lebih 28 kumpulan etnik, memiliki bahasa, budaya, adat resam dan gaya hidup yang unik dan tersendiri.

“Rakyat Sarawak dapat hidup harmoni, duduk bersama dan meraikan perayaan setiap suku kaumnya dengan mengadakan rumah terbuka seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya, Gawai Dayak, Hari Krismas dan sebagainya yang menjadi tradisi di negeri ini, tanpa sebarang persengketaan kerana perpaduan yang kukuh.

“Malah di Miri ini sendiri tidak timbul sebarang persengketaan dan perselisihan faham sebaliknya penduduk berbilang kaum dan agama di sini terus hidup harmoni dan saling bekerjasama,” tambahnya.

Turut hadir ialah Guru Besar SJKC Chung Hua Tudan Law Sie Kong dan Lembaga Pengarah SJKC Chung Hua Tudan Temenggung Yong Vui Seng serta Tong Shih Yee.-Edisi UKAS

add comment