Jawatankuasa Bertindak Akan Ditubuhkan Antara Kerajaan Sarawak & FELDA

JUMAAT, 3 FEBRUARI 2023

KUCHING: Satu jawatankuasa bertindak akan ditubuhkan di antara kerajaan Sarawak bersama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Pengerusinya Tan Sri Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, jawatankuasa berkenaan akan menentukan perkara yang akan dilaksanakan terutama melibatkan aset-aset yang dimiliki oleh FELDA di Sarawak untuk kebaikan kedua-dua belah pihak.

Menurutnya, antara aset FELDA yang terdapat di Sarawak ialah seperti Hotel Merdeka Palace dan beberapa ladang di sekitar negeri ini.

“Aset-aset kita di Sarawak yang jelasnya ialah Hotel Merdeka Palace yang  kebelakangan ini nampak agak kebelakang sedikit. Hotel Merdeka Palace pernah menjadi tempat tumpuan dan mempunyai potensi yang sangat tinggi serta sangat ikonik kepada Sarawak.

“Kita ingin mengangkat dan memperbaharuinya dengan kerjasama kerajaan Sarawak sebab itu kita bincang apakah cara terbaik ke hadapan.

“Semasa melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg tadi, beberapa cadangan telah diberi oleh beliau dan kita akan membuat perincian menerusi jawatankuasa yang akan ditubuhkan nanti.

“Selain daripada Hotel Merdeka Palace, kita ada ladang-ladang di Samarahan, Miri, Limbang dan banyak lagi. Ini juga kita akan bincang perinciannya dalam jawatankuasa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat.

Tan Sri Dato’ Seri Idris menambah, pihaknya berharap dalam proses rasionalisasi itu, ia akan dapat memastikan perancangan bagi melangkah ke hadapan untuk FELDA di Sarawak akan menjadi lebih mudah untuk diselaraskan.-Edisi UKAS

add comment