JUMAAT, 3 FEBRUARI 2023
KUCHING: Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MIPD) diamanahkan untuk mengetuai perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) di Putrajaya berhubung hasrat kerajaan Sarawak untuk mengambil alih semula operasi Pelabuhan Bintulu.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberi arahan itu semasa mesyuarat bulanan Kabinet negeri semalam.
“Ini bukan tugas yang mudah. Kita perlu merujuk kepada Ordinan Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1961 dan berharap dapat membentangkan Rang Undang-Undang dalam persidangan DUN menjelang akhir tahun ini,” katanya semasa majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2023 anjuran kementerian berkenaan di sini pada malam Khamis.
Sebelum ini, Kerajaan Sarawak menyatakan hasrat mahu Pelabuhan Bintulu menjadi sebahagian daripada kluster pelabuhan negeri di bawah Lembaga Pelabuhan Pusat yang akan diperbadankan mengikut undang-undang negeri.
Datuk Amar Douglas yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menambah, satu lagi tugas besar kementerian itu adalah untuk menghasilkan Pelan Induk Pelabuhan Sarawak.
Ujarnya, kajian ini bertujuan untuk menambah baik dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelabuhan, keselamatan Pelabuhan melalui pemasangan Vessel Traffic Management System (VTMS), kemudahan Aids to Navigation( AtoN), kren, kerja-kerja pengorekan dan meneroka peluang perniagaan baharu.
Kerajaan dalam pada itu jelasnya telah memperuntukkan dana RM4 juta bagi melaksanakan kajian tersebut yang bermula dengan Lembaga Pelabuhan Miri.
Mengenai isu lain, Datuk Amar Douglas Uggah berkata masih banyak pekara lain yang perlu dilakukan oleh kementerian mereka dan semua agensi di bawahnya pada tahun ini.
“Kita telah melakukan tindakan untuk pengoperasian semula banyak projek sakit walaupun ia masih menjadi masalah utama.
“Pada masa ini terdapat 340 projek tertangguh kategori kritikal.
“Premier Sarawak semasa Mesyuarat Koordinasi Pembangunan Negeri di Kapit baru-baru ini mahu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memastikan semua projek pembangunan yang diamanahkan kepada kementerian disiapkan mengikut jadual dan kualiti yang ditetapkan,” jelasnya.
Beliau juga optimis dengan kerjasama erat, sokongan dan persefahaman yang ada tugas dan amanah itu dapat dilakukan.
“Kita boleh belajar daripada kesilapan lalu selain penggunaan teknologi baharu.
“Saya juga amat berterima kasih kepada dua Timbalan Menteri saya iaitu Dato Majang Renggie dan Ir .Aidel Lariwoo kerana banyak membantu dan memberi sokongan padu,” ujarnya.
Mengenai prestasi kementerian itu pada tahun lepas, Datuk Amar Douglas Uggah berkata, daripada RM7.724 juta Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM7.548 juta atau 97.71 peratus telah dibelanjakan.
Bagaimanapun ujarnya, bagi Perbelanjaan Pembangunan daripada RM942.991 juta yang diperuntukkan sebanyak RM642.751 juta atau 68.16 peratus telah digunakan.
Hadir sama dalam progam tersebut ialah isterinya, Dato Doreen Mayang,
Kedua-dua Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan iaitu Dato Majang Renggie dan Ir .Aidel Lariwoo, Ahli Parlimen Betong Dr. Richard Rapu, Setiausaha Tetap MIPD, Chiew Chee Yaw dan Pengarah JKR Sarawak, Ir.Richard Tajan.-EDISI UKAS