MOTS Kemuka Kertas Cadangan Semak Semula Perintah Sekatan Berat Kenderaan Berat Di Sarawak

JUMAAT, 3 FEBRUARI 2023

BINTULU: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) akan menyediakan kertas cadangan untuk menyemak semula perintah sekatan berat semasa dan peraturan mengenai kenderaan berat di jalan raya negeri ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (MOTS) Datuk Dr Jerip Susil berkata, ia akan dikemukakan kepada peringkat tertinggi kerajaan Sarawak dan seterusnya kepada kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, perintah sekatan berat di Sarawak memberi cabaran kepada pemain industri logistik berkaitan sekatan berat serta kapasiti jalan dan jambatan di negeri ini.

“Kita tidak boleh membiarkan keadaan berlarutan kerana kita tahu Kerajaan Sarawak amat agresif untuk memajukan sektor ekonomi kita terutamanya sektor minyak dan gas, pembinaan kapal, pembuatan, industri berat, pertanian dan perlombongan.

“Semua sektor ini akan mencetuskan lebih banyak pergerakan kenderaan berat di jalan raya kita.

“Kegagalan untuk menyelesaikan sekatan berat akan menghalang keseluruhan rantaian aktiviti ekonomi, dan mungkin mempunyai implikasi serius terhadap aspirasi kita untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi menjelang 2030,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penangguhan “The lab on weight restriction order: Solution to harmonize operation of heavy vehicle in Sarawak” di sini pada Khamis.

Datuk Dr Jerip menambah, MOTS bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Kerja Raya mengenai situasi yang sedang dihadapi oleh pemain industri dan memohon berat dibenarkan yang sama dikenakan ke atas Sarawak

“Pakar memberitahu kami bahawa jalan dan jambatan di Sarawak direka mengikut standard dan spesifikasi yang sama dengan jalan raya dan jambatan di Semenanjung Malaysia.

“Bagaimanapun, saya difahamkan bahawa berat yang dibenarkan di Semenanjung Malaysia adalah lebih tinggi daripada yang dibenarkan di Sarawak. Piawaian reka bentuk yang sama mesti mempunyai keadaan yang sama,”ujar beliau lagi.

Jelasnya lanjut, makmal yang diadakan itu adalah sangat penting untuk menyelesaikan isu sekatan berat kenderaan berat di jalan raya di Sarawak dan memudahkan sektor perniagaan dan pembangunan ekonomi seluruh negeri ini.

“Kita semua adalah pihak berkepentingan kepada isu sekatan berat dan jika isu itu tidak diselesaikan, setiap daripada kita akan menghadapi akibatnya. Sebagai pengguna, ia akan menjejaskan harga barang dan akhirnya kos sara hidup.

Hadir sama ialah Ketua Bahagian Pengangkutan Darat dan Logistik MOTS Julin Alen, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Sarawak, Norizan Jili, Penolong Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Razami Mohamad Jamali, Presiden Persatuan Agensi Pengangkutan Penghantar Sarawak William Liang, dan Presiden Persekutuan Persatuan Lori Sarawak Ling Kah Kiong.-Edisi UKAS

add comment