SABTU, 4 FEBRUARI 2023
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang mengkaji untuk mewujudkan skim gaji sendiri bagi penjawat awam negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini kerana beliau melihat gaji yang diterima oleh penjawat awam sudah tidak sesuai.
Menurutnya, beliau berusaha untuk memikirkan dan melihat bagaimana untuk ‘memisahkan’ skim pencen sedia ada dan mewujudkan skim gaji sendiri untuk penjawat awam negeri yang lebih sealiran dengan pengurusan di Sarawak.
“Kami dari pihak kerajaan mahu mencari jalan untuk mempunyai skim kita sendiri supaya anda tidak terikat dengan ordinan pencen dan gaji anda pun tidak terikat.
“Sudah tentu orang kata, jika gaji besar, kita akan dapat mereka yang pakar dan oleh itu, kita terpaksa kaji.
“Saya tidak janji tetapi saya sedang mengkaji perkara ini dan saya minta doa anda semua.
“Selain itu, kita di pihak kerajaan juga memikirkan bagaimana kita dapat ‘berpisah’ dengan skim pencen, biar ada skim kita sendiri untuk penjawat awam kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Makan Malam Land And Survey (LANDAS) Summit 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, pada Jumaat.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, beliau turut meluluskan RM5 juta untuk pihak LANDAS menjalankan kajian dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang yang memfokuskan kepada perubahan iklim dan tenaga hijau.
Sehubungan itu, beliau menggesa Jabatan Tanah Dan Survei menghantar lebih ramai pegawai untuk meneruskan penyelidikan dalam pelbagai bidang termasuk data berbilang lapisan atau ‘multi-layered data’ seperti di Estonia di mana semuanya diintegrasikan ke dalam satu platform.
Turut hadir dalam majlis makan malam itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof. Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik, Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Sr Zaidi Mahdi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad, Datu Sharbini Suhaili, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah, Pengarah Jabatan Tanah Dan Survei Sarawak, Datu Abdullah Julaihi serta ketua jabatan yang lain. -EDISI UKAS