SABTU, 4 FEBRUARI 2023
MIRI: Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) akan melabur sebanyak RM2 bilion untuk membangunkan Loji Kuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) 400MW di sini.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Miri telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada empat hab gas di Sarawak selain Bintulu, Samalaju dan Kuching untuk menyediakan akses seluruh negeri kepada bekalan gas mampu milik, boleh dipercayai dan tenaga bersih di bawah Pelan Hala Tuju Gas Sarawak (SGR).
Katanya, SGR adalah tonggak utama dalam merealisasikan visi Sarawak untuk menjadikan negeri ini berpendapatan tinggi dan maju, dengan mengutamakan peningkatan akses bekalan gas asli Sarawak kepada 1,200 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) menjelang 2030.
“Seperti yang anda semua tahu, PETROS telah diperbadankan pada 2017 untuk menjadi peneraju penyertaan Sarawak dalam eksploitasi secara agresif sumber minyak dan gas, pada masa sama menjaga kepentingan negeri ini dan sumbernya.
“Minyak yang pertama kali ditemui di Miri pada tahun 1910 telah menjadikan ia lokasi yang strategik untuk PETROS sebagai syarikat minyak dan gas Sarawak.
“Sejak 2017, PETROS telah meningkatkan pengeluaran ekuitinya kepada lebih 40 perstus di luar pesisir Miri dan untuk daratan Miri, penggerudian dijangka dimulakan pada separuh kedua 2023,” jelasnya menerusi teks ucapan yang dibaca Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas semasa mewakili beliau merasmikan Majlis Pelancaran Bekalan Gas Asli Fasa 1 di Medan Saberkas Miri pada Sabtu.
Dalam teks ucapan sama, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut mencadangkan agar Majlis Bandaraya Miri dapat meneroka cara bagi menghubungkan Medan Saberkas Miri dengan taman di sekitarnya untuk dijadikan sebagai kawasan perumahan, komersil dan rekreasi.
Tambahnya, beliau berbesar hati untuk meneliti cadangan sedemikian demi memberi manfaat kepada masyarakat dan ekonomi tempatan di situ.
Di majlis itu, Datuk Amar Douglas berkesempatan meninjau lokasi saluran paip gas asli yang dipasang untuk membekalkan gas kepada peniaga di pusat komersial berkenaan.
Hadir sama ialah Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Dato Majang Renggi, Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS Janin Girie serta tetamu jemputan lain.-Edisi UKAS