Rakyat Sarawak Rai Bersama Apa Jua Sambutan Perayaan, Tonggak Perpaduan Pelbagai Kaum

SABTU, 4 FEBRUARI 2023

KUCHING: Budaya meraikan pelbagai jenis sambutan perayaan secara bersama terus menjadi amalan budaya seluruh rakyat di Sarawak.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, secara tradisinya, sambutan perayaan adalah peluang bagi ahli keluarga berkumpul mengeratkan hubungan kekeluargaan sekaligus mengeratkan ikatan persahabatan dan komuniti.

“Saya mahu kita semua daripada pelbagai komuniti tenaga kerja Majlis Perbandaran Padawan (MPP) mengetepikan kepercayaan agama, dan budaya buat sementara waktu kerana kita berada di sini untuk menikmati dan meraikan Tahun Baru Cina bersama saudara kita dari masyarakat Cina.

“Saya tahu ramai Bidayuh, Iban, Melayu dan Orang Ulu juga berada di sini dan mari kita nikmati bersama kerana sememangnya ia melambangkan apa yang saya percaya sebagai semangat sebenar orang Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Majlis Rumah Terbuka Perayaan Tahun Baru Cina MPP di MPP Fover, pada Jumaat.

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang merangkap Pengerusi MPP, Ir. Lo Khere Chiang menerusi ucapan ringkasnya berkata, beliau menekankan bahawa perpaduan dalam kepelbagaian adalah budaya di negeri ini.

“Sambutan Tahun Baru Cina seperti ini adalah sebahagian daripada budaya orang Sarawak dan oleh itu ia bukan sahaja untuk masyarakat Cina sahaja tetapi untuk semua.

“Kita tidak dapat memupuk dan mengukuhkan ikatan persahabatan sesama kita tanpa pengetahuan yang baik tentang budaya, tradisi dan kepercayaan agama masing-masing,” ujarnya.

Turut hadir, ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Elizabeth Loh, Timbalan Pengerusi MPP, Senator Dato’ Cr. Ahmad Dato’ Sri Ibrahim serta tetamu jemputan yang lain. -EDISI UKAS

add comment