SABTU, 4 FEBRUARI 2023
IGAN: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya meluangkan masa menghadiri Forum Perdana Hal Ehwal Islam peringkat Daerah Kecil Igan Siri ke-8 Tahun 2023 yang diadakan di Surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Igan pada Jumaat.
Forum diadakan pada Jumaat itu julung kali dianjurkan di SMK Agama Igan dengan tajuk ‘Cabaran Anak Muda Era Digital’.
Menurut Dr Juanda, pemilihan tajuk forum itu kerana ia selari dengan hasrat Sarawak yang mengumumkan tentang ekonomi digital.
Katanya, dunia turut bergerak pantas dengan digital dan ianya satu perkara yang tidak dapat dielakkan yang boleh membawa pelbagai kebaikan dan dalam masa yang sama juga membawa keburukan.
“Ahli panel forum terdiri daripada anak muda yang perlu diketengahkan untuk mencungkil bakat serta kebolehan mereka.
“Inilah warisan yang saling akan ditinggalkan dari satu generasi ke generasi yang berikutnya,” katanya berucap selepas forum berakhir.
Beliau juga memintak pihak SMK Agama Igan memaklumkan kepadanya sekiranya memerlukan naskah tambahan Al-Quran dengan harapan setiap pelajar yang keluar dari sekolah itu Khatam Al-Quran dan boleh membacanya dengan baik.
Selesai forum tersebut, Dr Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM70,000.
Penerimanya adalah PIBG SMK Agama Igan, PIBG SK Igan, JKKK Kg Tengah Igan, JKKK Kg Baru Ismail Igan dan JKKK Kg Baru Dagang Igan. – EDISI UKAS