SABTU, 7 FEBRUARI 2023
SERIAN: Ibu bapa daripada golongan B40 digesa agar memberi peluang kepada anak-anak mereka yang berkelayakan menduduki peperiksaan penilaian Yayasan Sarawak bagi melanjutkan pelajaran di bawah biayaan sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N23 Bukit Semuja, John Ilus, peluang itu tidak sepatutnya disia-siakan kerana semua peralatan dan keperluan pembelajaran dibiayai sepenuhnya dan anak-anak mereka juga berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke luar negara.
Berucap semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil dan Sambutan Tahun Baru Cina 2023 di SJKC Pangkalan Bedup Serian pada Jumaat, beliau menegaskan pendidikan sangat penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan anak-anak serta generasi yang akan datang.
Beliau turut mengucapkan syabas kepada ibu bapa serta guru-guru di atas komitmen yang diberikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah serta sokongan padu ibu bapa.
Katanya, Pusat Khidmat Bukit Semuja sentiasa mengambil berat dan sedaya upaya memberi bantuan dan peralatan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan di sekolah-sekolah di dalam kawasan Bukit Semuja.
Di akhir majlis, beliau menyampaikan sijil kepada 13 orang murid yang akan melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah dan menghadiri jamuan sambutan Tahun Baru Cina 2023 bersama murid-murid, ibu bapa dan guru-guru sekolah berkenaan.

Turut hadir ialah Guru Besar SJKC Pangkalan Bedup Serian Chai Min Nga, Temenggung Gee Ah Chok, Pemanca Chai Min Lee dan Kapitan Bong Kuat Khiong. -Edisi UKAS