AHAD, 5 FEBRUARI 2023
BETONG: Kerjasama erat harus terjalin di antara Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Biro Wanita bagi memperbanyakkan penganjuran aktiviti ekonomi yang memberi manfaat.
Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu berkata Biro Wanita adalah salah satu biro di bawah JKKK dan hampir semua JKKK di Parlimen Betong telah menubuhkan Biro Wanita.
Katanya, antara aktiviti eknomi yang boleh diperbanyakkan seperti aktiviti membuat kuih, memasak dan penghasilan kraftangan.
Selain itu katanya, aktiviti sosial dan kebudayaan seperti kelas tarian ngajat juga perlu diteruskan agar budaya warisan itu dapat diwariskan kepada generasi baru.
Manakala dari segi pendidikan katanya, Biro Wanita boleh mengadakan program tuisyen untuk anak-anak di rumah panjang.
Beliau berucap demikian semasa mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada majlis Pelancaran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) & Biro Wanita Suri Tengah, Debak dan Majlis Tamat Ngajat pada Sabtu.
Menurutnya, setiap tahun wakil rakyat ada menyalurkan dana kepada JKKK dan Biro Wanita.
Justeru, beliau menyeru mereka menggunakan dana tersebut dengan telus di dalam menganjurkan program yang memberi impak kepada ekonomi, sosial dan pendidikan kepada semua ahli-ahli di komuniti masing-masing.
Pada masa sama, beliau menyeru inisiatif masing-masing untuk menyediakan profil rumah panjang dan sekiranya telah ada, dikemaskini dari semasa ke semasa agar ada sistem penyimpanan data-data penting.
Dr Richard kemudiannya mengumumkan peruntukan sebanyak RM5000 sebagai dana untuk pelaksanaan aktiviti pihak Biro Wanita Suri Tengah. – EDISI UKAS