Pejabat JKR Bahagian Diberi Kuasa Urus Projek Di Kawasan

AHAD, 5 FEBRUARI 2023

MIRI: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak di peringkat bahagian kini diberi kuasa untuk menguruskan pelaksanaan projek berkaitan di bahagian masing-masing. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, langkah tersebut merupakan hasil penstrukturan JKR Sarawak dengan tujuan memberikan perkhidmatan lebih cekap secara tertumpu di setiap kawasan. 

“Kita telah menstruktur semula JKR Sarawak dengan maklum balas daripada wakil-wakil rakyat di negeri ini. Sebelum ini, kebanyakan projek besar diuruskan oleh pejabat wilayah, dan terdapat pelbagai isu yang diutarakan oleh wakil rakyat tempatan.  

“Oleh itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memutuskan untuk memberikan kuasa kepada pejabat bahagian untuk menguruskan projek JKR di kawasan masing-masing. 

“Dengan ini, kita berharap untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik,” katanya ketika berucap mewakili Premier Sarawak dalam program Chinese New Year Grand Dinner Banquet 2023 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menambah, JKR Sarawak akan mencadangkan dalam Kajian Separuh Penggal (MTR) tahun ini agar beberapa jalan di kawasan Miri dinaik taraf. 

Jelasnya, ia termasuk Jalan Pujut Bypass link ke Pan Borneo ke Pujut Corner Road, Jalan Padang Kerbau ke Miri junction Traffic Light serta Jalan Cahaya ke Jalan Airport. 

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Timbalan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Song Chang Hong, Penghulu Lee Thin Hin dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (FCA) Bahagian Miri Dato David Goh Kien Ping. -Edisi UKAS

add comment