Pendalaman Akses Kuala Baram Beri Nafas Baharu Kepada Aktiviti Perindustrian

AHAD, 5 FEBRUARI 2023

MIRI: Pendalaman akses di kawasan Kuala Baram menuju ke Terminal Pelabuhan Miri akan memberi nafas baharu kepada aktiviti perindustrian termasuk industri kecil dan sederhana di kawasan sekitar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, beliau telah meluluskan projek dengan anggaran peruntukan sejumlah RM238 juta itu baru-baru ini sebagai salah satu langkah meningkatkan produktiviti pelabuhan dan kecekapan perkhidmatan di negeri ini.

Menurutnya, ia selaras dengan usaha membangunkan Sarawak secara menyeluruh menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Projek ini, dengan anggaran dana sebanyak RM238 juta telah diperuntukkan, juga akan membantu mengurangkan masalah banjir di kawasan Marudi dan hulu Baram.

“Setelah siap nanti, ia juga akan memberikan nafas baharu untuk lebih banyak aktiviti perindustrian termasuk industri kecil dan sederhana.

“Ini akan menyumbang kepada kos penghantaran, pengangkutan dan logistik yang lebih rendah, sekaligus diterjemahkan kepada pengurangan kos kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam program Chinese New Year Grand Dinner Banquet 2023 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Premier Sarawak berkata, Miri seperti kawasan-kawasan lain di negeri ini turut menikmati pembangunan menyeluruh selaras dengan tonggak inklusiviti sosial di bawah PCDS 2030.

Jelasnya, sejak tahun 2017, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah menyerahkan geran sejumlah RM34.111 juta untuk 234 projek bagi bahagian Miri.

Manakala tambahnya, RM9.72 juta pula diperuntukkan untuk 11 Projek Rakyat di sini.

“Ini menjurus kepada jumlah peruntukan sebanyak RM43.831 juta untuk kesemua 245 projek tersebut,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut memberi bayangan bahawa bahagian Miri mempunyai potensi tinggi untuk pertumbuhan ekonomi.

“Dengan penubuhan syarikat penerokaan gas dan minyak tersendiri iaitu Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), kami akan meneroka bagaimana kami boleh memajukan lagi industri minyak dan gas di Miri, termasuk di kawasan darat,” katanya. 

Hadir sama, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang, Timbalan Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kuching Song Chang Hong, Penghulu Lee Thin Hin dan Presiden Persekutuan Persatuan Cina Sarawak (FCA) Bahagian Miri Dato David Goh Kien Ping. -Edisi UKAS

add comment