AHAD, 5 FEBRUARI 2023
SARIKEI: Program CSR Jelajah Sihat Sarawakku yang berlangsung dua hari di Sarikei telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dari masyarakat setempat dengan lebih dari 200 orang yang hadir bagi mendapatkan Saringan Kesihatan.
Dua lokasi program diadakan ialah Gelanggang Bola Keranjang,Taman Susur Jambu pada 3 Febuari manakala Dewan Serbaguna Kampung Seberang Sarikei pada 4 Februari 2023.
Inisiatif PEKA B40 adalah skim kesihatan untuk kumpulan B40 yang juga inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).
Program ini bertujuan memberi Saringan Kesihatan Percuma kepada semua penduduk di kawasan yang memerlukannya.
Program CSR Jelajah Sihat Sarawakku ini dikendalikan oleh petugas dari Klinik Dr. Yong Bintulu iaitu Umi Amira Mohd Faizal, Weaber Ingit, Fatricka Ugap Robinson dan Caldrick Seaman Bujang @ Endawie Navratilova Geea Pelip.
Program ini mendapat sokongan penuh dari Timbalan Menteri Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh.
Beliau juga menyeru khasnya komuniti setempat dan orang ramai untuk hadir ke tempat pemeriksaan kesihatan seperti yang telah dimaklumkan melalui Ketua-ketua Kaum dan Pusat Khidmat.
Program sebegini adalah salah satu inisiatif kerajaan dengan kerjasama pihak swasta untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan kampung-kampung serta rumah panjang. – EDISI UKAS