Program Kampung Siaga 221 Tingkat Persediaan Hadapi Insiden

AHAD, 5 FEBRUARI 2023

TUBAU: Penganjuran Program Kampung Siaga 221 bertujuan untuk meningkatkan daya tahan dan kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi pelbagai insiden.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Wilson Ugak Kumbong, antara insiden yang diberi perhatian termasuk kejadian kecemasan, khidmat kemanusiaan, krisis, bencana dan juga peperangan.

“Program ini melibatkan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dan juga warga rumah panjang.

“Berteraskan ‘Dari Komuniti Kepada Komuniti’ dengan bimbangan berterusan oleh agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), program ini dilaksanakan menggunakan tiga konsep bantuan iaitu bantuan kendiri, bantuan mutual dan bantuan awam,” katanya ketika menyempurnakan Program Kampung Siaga 221: Komuniti Berdaya Tahap Bencana di Rumah Jackson Wan Luhat, Tubau pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Rajang memberitahu, antara kriteria pemilihan lokasi untuk menjalankan program seumpamanya termasuk kawasan yang jauh di pedalaman, sukar dihubungi, terdedah serta terputus hubungan ketika bencana dan juga menghadapi capaian komunikasi dan logistik yang terhad.

Dalam pada itu, program tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti sekitar dengan 283 orang berjaya didaftar sebagai ahli sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Antara pengisian program termasuk pameran oleh pelbagai agensi, penyerahan alat pemadam api kebakaran dan kit pertolongan cemas, penyerahan uniform kepada Tuai Rumah dan juga penyerahan kit makanan.

Sementara itu, Datuk Wilson turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM25,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jackson dan RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Jackson.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon, Ketua Pesuruhjaya APM Aminurrahim Mohamed, Pengarah APM Negeri Sarawak Abdul Wahab Rahim, Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Michael Mujah dan Kenil Jeraiie, Ahli Majlis Datuk Dato Malaysia Dato Hii Hua Seng, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kewangan dan Pembangunan GIAT MARA Malaysia Mohammad Sadzilan Mohd Saad serta wakil Setiausaha Persekutuan Sarawak Mohamed Faizal Shah Ali. -Edisi UKAS

add comment