AHAD, 5 FEBRUARI 2023
TANJONG MANIS: Projek Sistem Bekalan Air Tanjong Manis Pakej 1 hingga 7 yang telah siap akan menjadi penyelesaian kepada masalah bekalan air yang dihadapi di kawasan Kuala Rajang dan Tanjong Manis.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Julaihi Narawi menjelaskan Loji Rawatan Air Tanjong Manis di bawah Pakej 6 juga telah siap dan apabila beroperasi sepenuhnya kelak dapat membekalkan air bersih selepas memproses air mentah yang disalurkan dari Pakej 1 iaitu kolam pengambilan air mentah di kawasan Sungai Sadit.
Katanya, kos keseluruhannya menyediakan Loji Bekalan Air Tanjong Manis itu berjumlah RM17 juta untuk membaik pulih dan membetulkan komponen-komponen yang perlu ditukar bagi memastikan ianya dapat digunakan dan keseluruhan projek adalah baik.
“Kita berharap ia akan menjadi penyelesaian jangka panjang terhadap masalah bekalan air di sini. Cuma beri sedikit masa untuk kita membolehkan Loji Bekalan Air Tanjung Manis ini dapat beroperasi sepenuhnya.
“Kos keseluruhannya RM17 juta untuk membaik pulih dan membetulkan komponen-komponen yang perlu ditukar, kita perlu memastikan nya dapat digunakan dan keseluruhan projek adalah baik di mana paip besar lama belum diguna pakai.
“Mereka perlu mengadakan pemeriksaan dan menguji sistem paip yang ada bagi memastikan ia berada dalam keadaan sempurna untuk pengoperasian tersebut,” katanya kepada media semasa Lawatan Kerja ke Loji Rawatan Air Tanjong Manis pada Sabtu.
Menurutnya, apabila Loji Rawatan Air Pakej 6 dapat pulih sepenuhnya, beliau percaya usaha untuk memulihkan paip sekarang tidak banyak masalah dan kita berharap operasi bekalan air berjalan seperti yang kita rancangkan.
Katanya, kawasan itu akan menerima dua sumber air termasuk Loji Rawatan Air Bayong yang masih juga menyalurkan bekalan air ke kawasan itu.
“Loji Rawatan Air Tanjong Manis 30 MLD dan Loji Rawatan Air Bayong 70 MLD akan ditingkatkan kepada 100 MLD.
“Maknanya dikira 130 MLD itu banyak dan menjadi penyelesaian masalah bekalan air di kawasan ini,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah & Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh menyeru penduduk di kawasan Tanjong Manis atau Kuala Rajang untuk menyalurkan masalah bekalan air menggunakan saluran yang tepat.
Katanya, pihak Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) mempunyai perancangan jangka panjang untuk menyediakan bekalan air yang lebih terancang di kawasan itu.
Sementara itu, Pengarah JBALB Sarawak Chang Kuet Shian berkata Kerajaan Sarawak komited untuk menambah baik infrastruktur dan sistem bekalan air di kawasan Kuala Rajang termasuk kawasan Sekumang, Tanjong Manis, Belawai, Jerijih, Rejang, Serdeng dan Pulau Bruit.
Katanya, ia dizahirkan menerusi pelaksanaan Projek ‘Package 1 – Proposed Pipeline from Baji to Sekumang including Submarine Pipelines and Associated Works’ yang bernilai sekitar RM50.3 juta.
Katanya, projek berimpak besar ini telah dirancang dengan teliti oleh pihaknya bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di kawasan Kuala Rajang.
Tambah beliau, projek yang sedang dalam peringkat pembinaan ini dijangka mula beroperasi menjelang Mac 2023.
Hadir sama Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abdul Wahab serta Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Air Sibu Jafri Lias. – EDISI UKAS