Ahli Parlimen Tanjong Manis Terus Santuni Penduduk Kampung Selalang

ISNIN, 6 FEBRUARI 2023

SELALANG: Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab meneruskan aktiviti dengan menyantuni dan beramah mesra dengan penduduk Kampung Selalang dalam program Malam Senandung Ria, Pemimpin Bersama Komuniti pada malam Ahad.

Sebelum itu, beliau turut mengadakan program dan aktiviti bersama penduduk Kampung Bukit Kinyau pada pagi manakala penduduk di Taman Susur Jambu pada sebelah petang.

Semua program tersebut telah dipenuhi dengan pelbagai acara seperti senamrobik, sukaneka, pertandingan, sukan serta acara kebudayaan dan komuniti.

Program sebegini sering diadakan bagi memastikan komuniti setempat kekal aktif dan mengukuhkan kerjasama dalam komuniti selain memupuk kerjasama yang lebih baik.

Kerjasama dan komunikasi antara Ketua-ketua Kaum dan rakyat amat penting bagi memastikan pembangunan dan keselamatan kampung dapat terjamin tanpa ada perpecahan.

Program ini juga diadakan agar pemimpin dapat berjumpa serta bersemuka terus dengan rakyat supaya dapat menyuarakan isu-isu dan permasalahan yang dihadapi dengan lebih jelas.

Selain itu perjumpaan seperti ini dapat mengurangkan birokrasi yang perlu dilalui oleh rakyat dalam usaha menyuarakan isu-isu yang mereka handak suarakan.

Semua isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat akan ambil perhatian dan diusahakan samada melalui kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat.

Hadir sama pada majlis ialah Ketua-ketua Kaum, Pemimpin Parti dan penduduk Kampung. – EDISI UKAS

add comment