ISNIN, 6 FEBRUARI 2023
LUBOK ANTU: Penyediaan satu Mesin Kitar Semula Tunai (CRM) dicadangkan di Pekan Lubok Antu, khusus untuk manfaat pengunjung dan penduduk di sekitarnya.
Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau Gingkoi berkata, cadangan itu susulan masalah mesin pengeluaran automatik (ATM) Agro Bank sedia ada di situ yang didakwa sering mengalami kerosakan dan kehabisan duit.
Menurutnya, CRM menggabungkan fungsi kedua-dua ATM dan Mesin Deposit Tunai (CDM) yang membolehkan para pelanggan melakukan pelbagai transaksi seperti pertanyaan baki, pengeluaran, deposit, pembayaran pembiayaan, pembayaran bil dan pemindahan dana.
Sehubungan itu, beliau yakin, dengan adanya CRM, penduduk setempat dapat membuat pengeluaran wang dengan mudah tanpa masalah.
Roy berkata demikian semasa meninjau proses perkhidmatan kaunter bergerak CIMB Bank di Pekan Lubok Antu pada Ahad.
Perkhidmatan itu disediakan kepada para pelanggan yang mahu membuka akaun CIMB Bank dengan serendah RM20 sahaja. -Edisi UKAS