50 Anak Penjawat Awam Terima Sumbangan MAKSAK Cares Sempena Tahun Baharu Cina

SELASA, 7 FEBRUARI 2023

KUCHING: Seramai 50 anak penjawat awam menerima sumbangan menerusi Program Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Cares bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina 2023.

Penerima sumbangan tersebut terdiri daripada anak-anak penjawat awam di Bahagian Sarikei yang telah dipilih.

Dalam pada itu, Penasihat MAKSAK Wanita Sarawak yang juga isteri Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang telah menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan tersebut kepada wakil penerima dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Chap Goh Mei Jabatan Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Selasa.

Turut hadir menyaksikan penyerahan itu ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta dif-dif kehormat yang lain.

Program kebajikan itu merupakan aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh Biro Kebajikan MAKSAK Wanita Sarawak di mana pada setiap perayaan, sumbangan ikhlas disediakan khususnya untuk anak-anak penjawat awam dan untuk pelajar sekolah daripada keluarga golongan B40.

Dalam pada itu, Program MAKSAK Cares bertujuan membantu untuk meningkatkan kualiti hidup golongan berpendapatan rendah serta memastikan tiada penjawat awam yang tercicir dari menikmati faedah bantuan kerajaan.

Ini terutamanya memandangkan terdapat sebilangan penjawat awam yang tidak mampu menyediakan keperluan harian keluarga disebabkan peningkatan kos sara hidup sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian hadiah bagi Gerai Tahun Baharu Cina Terbaik pilihan MAKSAK yang mana tempat pertama dimenangi oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Tempat kedua pula dirangkul oleh Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak (SFS) manakala tempat ketiga dimenangi Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak (UPPANS).

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Pengerusi MAKSAK Wanita Sarawak Datin Amar Baduyah Bujang. -Edisi UKAS

add comment