Kontraktor Perlu Jalankan Projek Dengan Cekap, Ikut Jadual

RABU, 8 FEBRUARI 2023

KUCHING: Semua kontraktor yang diamanahkan untuk menjalankan projek-projek di negeri ini diingatkan untuk melakukan kerja dengan cekap dan menyiapkannya mengikut jadual yang ditetapkan.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia penting untuk memastikan perancangan Kerajaan Sarawak untuk memajukan negeri ini dapat dicapai.

“Ini penting kerana Kerajaan Sarawak pimpinan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bermatlamat untuk memajukan Sarawak ke  arah wilayah yang maju pada tahun 2030 dengan pelbagai program dan perancangan dirangka untuk mencapainya.

“Misalnya untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, kita diamanah untuk membina jalanraya dan membina jambatan. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pagi tadi telah mengumumkan bahawa untuk ‘coastal road’ dan ‘second trunk road’, Kerajaan Sarawak membelanjakan sebanyak RM11 bilion.

“Jadi adalah tanggungjawab JKR untuk menentukan projek-projek itu dijalankan dan dilaksanakan supaya ia akan siap kerana rakyat juga berharap projek itu siap mengikut jadual apabila pengumuman telah dibuat bahawa sesuatu projek dilaksanakan di kawasan mereka. Sekiranya projek berkenaan tidak siap, ia akan menghampakan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penutupan Seminar Mempertingkatkan Industri Pembinaan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.

Hadir sama dalam majlis penutupan itu ialah kedua-dua Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) Dato Majang Renggie dan Ir Aidel Lariwoo.

Datuk Amar Douglas Uggah menambah, seminar berkenaan diadakan bagi mengumpul pemain industri pembinaan di negeri ini ke arah menyusun langkah untuk memastikan projek-projek yang dirancang dapat dilaksanakan sehingga berjaya siap.

“Kita berharap dengan seminar kita hari ini , ia menjadi permulaan baru. Seperti yang anda tahu Kerajaan Persekutuan telah mengamanahkan pelaksanaan projek bawah RM50 juta kepada JKR Sarawak and Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).

“Itu juga penting dan sangat kritikal bahawa apa yang diamanahkan kepada kita mesti dilakukan dan mesti diselesaikan mengikut jadual dan berkualiti kerana selepas itu kita juga mengharap tahap projek-projek yang akan diserah dari Kerajaan Persekutuan juga akan meningkat sekiranya kita berjaya menunjukkan kebolehan kita di Sarawak untuk melaksanakan projek-projek,” jelas beliau lagi.

Terdahulu pada sebelah pagi, Premier Sarawak telah menyempurnakan perasmian seminar berkenaan yang merupakan usaha sama MIPD, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, JKR Sarawak dan Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (CIDB) Sarawak.

Sebagai rekod, seminar itu diadakan untuk memperkenalkan strategi baharu yang berkesan dalam membantu pemulihan senario binaan tempatan dan pelaksanaan projek di bawah bidang kuasa Sarawak pasca COVID-19.

Seminar itu juga mendedahkan pemain industri kepada anjakan paradigma baharu melalui penambahbaikan strategik dan usaha inovatif yang telah disepadukan dengan sewajarnya ke dalam pengurusan projek dan prosedur pentadbiran kontrak.

Lebih 250 peserta daripada pelbagai sektor binaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi kerajaan mengambil bahagian dalam seminar selama sehari tersebut.-Edisi UKAS

add comment