RABU, 8 FEBRUARI 2023
KUCHING: Kerajaan Sarawak melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pembangunan menyelidik serta menyelesaikan isu yang dihadapi dalam industri pembinaan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, setakat 27 Januari 2023, daripada 215 projek di bawah pembinaan, 34 projek tertangguh secara kritikal, 29 projek lambat dari jadual dan 149 projek mengikut jadual.
Menurutnya, antara isu dan cabaran yang dikesan adalah termasuk kekurangan komitmen kontraktor dan prestasi yang kurang memuaskan.
“Projek yang tertangguh berkenaan telah menimbulkan keresahan rakyat dan impak negatif kepada industri pembinaan.
“Kerajaan Persekutuan telah memberi kuasa kepada kita untuk melaksanakan projek di bawah RM50 juta dan kita ada penilaian kuasa itu sekarang.
“Tetapi sekarang saya berharap pelaksanaannya berjalan lancar kerana kalau tidak, Perdana Menteri akan panggil saya kenapa kita tidak dapat melaksanakannya.
“Jadi sebab itu saya perlu kita bekerjasama terutamanya kontraktor bumiputera yang diberi projek, sila buat dan cuba buat simulasi projek itu sendiri supaya anda tahu mengurus projek dan melaksanakan projek.
“Jika anda ingin bekerja dengan bukan bumiputera, teruskan bekerjasama. Jangan lepas tangan terus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Seminar Mempertingkatkan Industri Pembinaan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang AZohari menambah, kerajaan Sarawak juga memandang serius dan melakukan yang terbaik untuk memastikan kelancaran penyampaian projek.
Ujarnya, semua kontraktor diingatkan supaya lebih serius dan komited apabila melibatkan pelaksanaan projek di bawah bidang kuasa kerajaan Sarawak dan tidak akan berkompromi dengan sebarang pelaksanaan yang tidak cekap.
“Oleh itu, semua kontraktor dengan rendah hati saya mohon diingatkan supaya serius dan lebih komited dalam pelaksanaan projek di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak.
“Integriti dan profesionalisme mesti dipertahankan semasa pelaksanaan projek. Oleh itu, adalah penting untuk kontraktor mengambil perhatian berhubung dengan kapasiti dan keupayaan mereka sendiri apabila menjalankan projek kerajaan.
“Kontraktor mesti memastikan bahawa langkah dan inisiatif diambil untuk membina sumber firma mereka terutamanya dari segi keupayaan kewangan dan teknikal,” ujarnya.
Turut hadir dalam perasmian seminar berkenaan ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Infrastruktur), Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (Pembangunan Pelabuhan), Dato Majang Renggi, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Chiew Chee Yau, Pengarah Kerja Raya, Ir. Ts. Richard Tajan serta yang lain. -EDISI UKAS