RABU, 8 FEBRUARI 2023
KANOWIT: Projek Tebatan Banjir dan Tempat Parkir Kenderaan Fasa 1 di Pasar Nanga Ngemah telah siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata projek tersebut dibina dibawah projek Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Ngemah tahun 2022 dengan bajet berjumlah RM200,000.
“Bagi fasa 2 pula, pembinaannya akan dibuat pada tahun ini selepas mendapat kelulusan daripada pihak EPU di Kuching.
“Dengan siapnya pembinaan projek fasa 2 kelak pastinya akan memberi keselesaan kepada pengunjung ke Pasar Nanga Ngemah.”
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Chap Goh Mei 2023 dan Perasmian Projek Tebatan Banjir dan Tempat Parkir Kenderaan di Pasar Nanga Ngemah, bertempat di Dewan Serbaguna Nanga Ngemah pada Selasa.
Mengenai perkara dibangkitkan oleh Kapitan Tiong Ming Kiong bagi penyambungan elektrik dan pembinaan pagar mengelilingi Dewan Serbaguna Nanga Ngemah, Anyi memberi komitmen untuk memberi perhatian sewajarnya.
Ujarnya, permohonan projek tersebut akan dinilai dan pelaksanaannya akan dibuat berdasarkan kedudukan bajet yang ada.
Dalam pada itu, beliau juga menggesa ibu bapa yang hadir agar memberi perhatian dan sokongan kepada anak-anak mereka yang masih belajar.
Jelasnya, bagi menyokong perkara tersebut, Pusat Khidmat DUN Ngemah ada menyediakan insentif akademik yang disalurkan secara ‘one-off’.
“Pelajar lepasan SPM yang memperolehi keputusan sekurang-kurangnya 4A akan diberi insentif akademik berjumlah RM300.
“Manakala bagi yang melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma diberi RM500 dan RM1,000 bagi peringkat ijazah sarjana muda,” katanya.
Turut hadir Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kanowit Yakup Jai, Timbalan PPD Kanowit Joseph Jabu, Penyelia UKAS Bahagian Sibu Jelani Ajang, Kapitan Tiong Ming Kiong, Pemanca Liong King Hee, Penghulu Thomas Ling dan Kapitan Carol Lau.-EDISI UKAS