RM40 Juta Diperuntuk Bina Penahan Hakisan Pantai Tanjung Riong Maludam

RABU, 8 FEBRUARI 2023

PUSA: Sebanyak RM40 juta akan diperuntukkan bagi membina penahan hakisan Pantai Tanjung Riong Maludam, Pusa.

Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata peruntukan tersebut adalah dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Selain itu, pihaknya juga telah memohon peruntukan sebanyak RM18 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi tujuan sama.

“Dengan adanya peruntukan RM40 juta di bawah BDDA, diharap projek ini dapat dijalankan dengan baik walaupun masih di peringkat perancangan serta menunggu rekabentuk oleh agensi yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak cadangan projek berkenaan di Pantai Tanjung Riong, Maludam Pusa pada Rabu.

Katanya, pantai itu perlu dilindungi kerana terdapat beberapa buah rumah di kawasan tersebut yang terletak berhampiran dengan pantai Tanjung Riong dan boleh mengancam keselamatan penduduk.

Lawatan tersebut turut dihadiri Pengarah Jabatan Pengairan & Saliran Sarawak (DID) Ahmad Deny Fauzi. – EDISI UKAS

add comment