SDW 2023 Bakal Tampil Lebih 200 ‘Booth’ Pamer Keunikan Reka Bentuk

RABU, 8 FEBRUARI 2023

KUCHING: Minggu Reka Bentuk Sarawak (SDW) 2023 bakal menampilkan lebih 200 ‘booth’ mempamerkan keunikan reka bentuk masing-masing.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pusat Reka Bentuk Sarawak (Saradec) pada Rabu, ‘booth’-‘booth’ berkenaan akan dipamerkan di Pavilion SayD’Signers yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 13 hingga 16 Februari ini.

“Keterujaan terus memuncak apabila kita semakin menghampiri tarikh pelancaran SDW2023.

“Pempamer yang akan terlibat termasuk rakan strategik acara itu iaitu Yayasan Tun Jugah, Centexs Commercial Service Sdn Bhd, Saadiah Indah Sdn Bhd, Kilang Modern Woodworks, Standard Kitchen Sdn Bhd, Yun Ming Wood Industries Sdn Bhd, Keabe Industries Sdn Bhd, Brown Furniture Sdn. Bhd, Kayusar Sendirian Berhad, Hap Lee Fung Enterprise, Solid Timber, Kraftangan Malaysia, The Ranee Boutique Suites, Ran & Nong Creations, Sarawak Craft, Dorothy Arts & Crafts Associates, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Kolej Komuniti Miri.

“Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA) juga akan mempunyai senarai pempamernya yang akan menyerlahkan segala-galanya daripada elektrik dan elektronik, hiasan dalaman, dan perabot di ‘booth’ masing-masing,” katanya.

Kenyataan sama memberitahu, Pavilion SayD’Signers di dewan pameran utama akan mempamerkan reka bentuk perabot oleh graduan program Pereka Muda Sarawak (SayD’Signers Sarawak) kumpulan 1-4, manakala Pavilion SLIM (SayD’Signers Link And Match) mempamerkan beberapa rumah perabot yang bekerjasama dengan SayD’Signers.

Tambah kenyataan itu, ‘booth’ pameran penaja akan termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED), Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (STIDC), SDA, Zecon Berhad, Tecktonic & Sons Holdings Sdn Bhd, Kumpulan Syarikat Shinyang, Jabatan Hutan, Jabatan Perhutanan Sarawak dan Kumpulan Samling.

“Pengunjung ke ekspo boleh mengharapkan untuk mencari gerai yang mempamerkan kraf yang boleh dijadikan reka bentuk indah untuk rumah.

“Akan ada juga demonstrasi, tarian tradisional, dan aktiviti sampingan lain yang menarik diadakan kelak.

“Pavilion Indonesia juga mempamerkan reka bentuk yang indah dalam pelbagai bentuk. Ia termasuk fesyen, perabot, kraf, hiasan dalaman dan pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan reka bentuk lain.

“Juga di tingkat bawah bawah, pengunjung boleh membeli pelbagai produk termasuk perabot dan hiasan daripada Perusahaan Kecil-Sederhana (PKS), dan vendor dilantik Saradec,” jelas kenyataan berkenaan.

Sebagai rekod, SDW 2023 dianjurkan oleh Saradec dan Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia, disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) serta MINTRED, dan disokong oleh STIDC.-Edisi UKAS

add comment