KHAMIS, 9 FEBRUARI 2023
BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming menyeru kepada pihak sekolah untuk berhubung dengan Pusat Khidmat ADUN untuk membuat aduan sekiranya mempunyai masalah.
Katanya, beliau akan membantu dalam meningkatkan prasarana sekolah demi kebajikan murid-murid dan guru-guru.
Beliau berkata demikian semasa meninjau dan menyerahkan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang telah siap dilaksana kepada SJK Chung Hua 2 di sini pada Rabu.
Bercakap mengenai RTP di sekolah berkenaan, Johnny Phang memberitahu, beliau telah memberi peruntukan RTP tersebut pada tahun 2022 kepada SJK Chung Hua 2 untuk menaiktaraf tapak letak kereta ekoran aduan daripada pihak sekolah berkenaan masalah ketidakrataan permukaan tapak letak kereta.
“Pihak sekolah telah berhubung dengan saya untuk mengadu tentang tapak letak kereta yang tidak rata yang menyebabkan takungan air dan lumpur tanah selepas hujan.
“Projek tersebut memfokuskan kepada kerja penurapan semula tapak letak kereta bermula pada 8 Ogos 2022 dan siap dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan,” jelasnya.
Beliau menambah, pusat khidmatnya juga akan membantu menyelesaikan isu-isu lain seperti masalah rumput dan lalang yang tumbuh berkeliaran di sekitar kawasan sekolah yang menyebabkan keceriaan dan kebersihan sekolah terjejas.
Katanya, isu tersebut telahpun ditujukan kepada pihak berkenaan untuk tindakan seterusnya.
Hadir sama Penolong Jurutera JKR Bahagian Bintulu Ngu Tie Hua, Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Bintulu Mohd Amirul Valentine Laiseh dan Guru Besar SJK Chung Hua No. 2 Ting Yao.-Edisi UKAS