KHAMIS, 9 FEBRUARI 2023
KUCHING: Masyarakat diseru untuk memberikan sokongan penuh kepada pejuang-pejuang kanser tanpa mengira latar belakang pesakit tersebut.
Pengasas Persatuan Ziarah Sahabat Kanser (PZSK) yang juga merupakan pesakit kanser tahap empat, Zaiki Yahya berkata penyakit ini bukanlah menjadi sempadan untuk melakukan sebarang aktiviti sukan ataupun riadah.
Menurutnya, seorang pejuang kanser haruslah diberikan perhatian dan bantuan dalam bentuk moral atau emosi untuk mereka sentiasa berfikiran positif dalam meneruskan kehidupan seharian.
“Jangan jadikan pesakit kanser ini sebagai satu sempadan dan kepada masyarakat di luar sana, sekiranya mengetahui adanya pesakit kanser berikan sokongan.
“Kerana apa yang saya ingin kongsikan, saya sebagai seorang pesakit kanser menjalani radioterapi memerlukan sokongan daripada semua pihak,” katanya ketika ditemui media pada program Kayuhan Jelajah Ziarah Sahabat Kanser, di bangunan Sultan Iskandar, Kompleks Persekutuan Kuching (KPK) pada Khamis.
Sementara itu, program kayuhan basikal tersebut dimulakan di Kompleks Persekutuan Kuching menuju ke destinasi yang keduanya iaitu Hospital Umum Sarawak.
Untuk rekod, permulaan kayuhan berbasikal bermula pada 9 Februari 2023 selama 28 hari dari Kuching, Sarawak dan berakhir di Kota Kinabalu, Sabah.
Jelas Zaiki Yahya, kayuhan ini adalah penamat bagi kayuhan di seluruh Malaysia setelah berjaya mengelilingi satu Semenanjung Malaysia pada tahun 2022.
Dalam pada itu, beliau juga mendapat sumbangan daripada Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak yang disampaikan oleh Penolong Setiausaha Persekutuan Sarawak merangkap Pengerusi Kelab Sukan, Kebajikan dan Rekreasi (KSKR), Faizal Shah Ali.-EDISI UKAS