Ibu Bapa Perlu Sokong Pembangunan Pendidikan Anak

KHAMIS, 9 FEBRUARI 2023

TATAU: Sokongan ibu bapa terhadap pendidikan anak penting bagi melahirkan generasi cemerlang pada masa depan. 

Menurut Ahli Parlimen Selangau Edwin Banta, mereka harus sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah tertutamanya warga pendidik. 

“Ibu bapa perlu mengutamakan pendidikan anak masing-masing untuk menjamin masa depan mereka khasnya untuk mendapatkan kerjaya yang baik termasuk peguam, doktor, guru dan jurutera,” katanya dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (APC) Sekolah Kebangsaan (SK) Kelawit 2022/2023 di dewan utama sekolah tersebut di sini pada Rabu.  

Dalam pada itu, Edwin menyambut baik penganjuran program seumpamanya bagi menyuntikkan lagi semangat dalam jiwa anak muda untuk terus mengejar kejayaan. 

Terdahulu ketika berucap, Guru Besar SK Kelawit Janudin Abdul Rahman memberitahu, majlis tersebut bertujuan untuk memberi penghargaan atas kesungguhan para murid serta mengetengahkan mereka yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga kokurikulum. 

Antara anugerah yang disampaikan pada majlis itu termasuk Tokoh Pelajar SK Kelawit dan Anugerah Murid Harapan SK Kelawit. 

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Tatau Sebauh Fred Entau dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kelawit George Foreman Hermang. -Edisi UKAS 

add comment