KHAMIS, 9 FEBRUARI 2023
MIRI: Satu pasukan petugas khas ditubuhkan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) bagi membangunkan Old Man Street menjadi lokasi tarikan pelancongan di sini.
Menurut Datuk Bandar Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut Adam Yii Siew Sang, pasukan tersebut akan menyelesaikan masalah gelandangan di kawasan terbabit dan akan mengendalikan kerja-kerja mengindahkan kawasan itu.
“Selain menambah baik kemudahan dan aspek kebersihan, kita turut memberi tumpuan bagi menangani masalah gelandangan yang mendatangkan ketidakselesaan kepada para pengunjung atau pelanggan dan pemilik kedai di kawasan berkenaan.
“Kami juga telah memohon RM1.5 juta daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan untuk menaik taraf kemudahan di kawasan terbabit,” jelasnya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan berkenaan di Dewan MBM pada Rabu.
Dalam pada itu, Adam Yii menambah, selepas MBM membersihkan kawasan itu, pihaknya akan membersihkan longkang di kawasan berkenaan.
Ujar beliau, MBM juga sedang meneliti cadangan untuk menganjurkan beberapa aktiviti bagi meriahkan kawasan terbabit terutama pada waktu malam.
Beliau memberitahu, pasukan itu akan dipengerusikan Kaunselor Leslie Lau dan turut disertai wakil daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pasukan penguat kuasa MBM, Bahagian Kesihatan Awam MBM serta yang lain.-Edisi UKAS