Pertingkat Pembangunan Usahawan Belia Sarawak

KHAMIS, 9 FEBRUARI 2023

KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi komited dalam mempertingkatkan pembangunan usahawan di negeri ini.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak bagi meneliti bagaimana usahawan di Sarawak dapat dibangunkan.

“Kita telah maklum dan bincangkan tadi di mana Premier Sarawak juga telah memberikan input yang sangat berharga kepada kami di kementerian khususnya tentang pembangunan usahawan belia dalam industri kreatif dan juga beberapa sektor keusahawanan belia di Sarawak.

“Ia sudah tentu kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak untuk kita melihat bagaimana usahawan Sarawak ini dapat dibangunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Khamis.

Datuk Ewon menambah, perkara lain yang dibincangkan secara spesifik merangkumi tentang usahawan atlet sukan dan industri kreatif di Sarawak termasuk program yang bakal diadakan di seluruh negara khususnya untuk Sarawak.

Ujarnya, pihak kementerian juga akan memberikan fokus tambahan kepada Sarawak dan Sabah dalam pendekatan melaksanakan pelan dan strategi pembangunan usahawan.

Katanya lagi, beliau turut memaklumkan kepada Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari bahawa pihak kementerian terus komited untuk memastikan ada penyertaan kepimpinan Sarawak di bawah agensi berkaitan sebagai ahli Lembaga Pengarah.

Sementara itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Dato’ Nazim Rahman.

Menurut Dato’ Nazim, beliau melihat kerajaan Sarawak sangat aktif, berwawasan dan mempunyai prinsip pandang ke hadapan dari segi agenda ekonomi mampan.

Jelasnya, ia merupakan ruang pelaburan serta kerjasama untuk memperluaskan rakan kongsi strategik antara kedua belah pihak sekaligus untuk penambahbaikan dan manfaat bersama.

“Kita berbesar hati dan mengucapkan terima kasih kepada Premier Sarawak kerana sudi menerima kedatangan kita untuk berbincang mengenai ruang kerjasama pelaburan antara LTAT dengan kerajaan Sarawak.

“LTAT sekarang ini juga memang ada pelaburan langsung dan tidak langsung di Sarawak di mana kita ingin mencari ruang kerjasama yang lebih luas kita meneruskan aktiviti pelaburan kita bersama rakan kongsi strategik dengan kerajaan Sarawak,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg juga telah menerima kunjungan hormat daripada Perkumpulan Wanita Sarawak dan Deloitte. -EDISI UKAS

add comment