Sarawak Bersedia Jadi Tuan Rumah SUKMA 2024

KHAMIS, 9 FEBRUARI 2023

KUCHING: Sarawak bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, bagaimanapun, Sarawak mahu notis pemberitahuan diberikan supaya persediaan untuk penganjuran sukan berkenaan dapat dilakukan.

“Sekiranya kerajaan Persekutuan hendak kita menjadi tuan rumah, kita terima menjadi tuan rumah pada tahun 2024 tetapi beri kita masa untuk menaik taraf dan membaiki fasiliti sukan di negeri ini.

“Mereka perlu memberikan kita notis supaya kita boleh menaiktaraf kemudahan sukan kita di negeri ini sebelum penganjuran SUKMA,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan insentif kepada para atlet yang menyumbang pingat dalam SUKMA ke-20, MSN 2022, Sukan SEA ke-31, Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Para ASEAN 2022 di sini pada Khamis.

Ujar Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, badan sukan negara telah menyatakan bahawa kos penganjuran SUKMA adalah besar dan hanya Kuala Lumpur pada masa ini yang mempunyai keupayaan dan kemudahan.

Sehubungan itu, beliau telah mencadangkan agar penganjuran SUKMA itu diadakan secara bergilir antara Kuala Lumpur, Sarawak dan Sabah sekiranya negeri lain tidak dapat menganjurkannya yang mana ia selaras dengan semangat Malaysia.

Premier Sarawak menambah, Sarawak menerima untuk menjadi tuan rumah kerana mahu membangunkan sukan negeri ini sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Kita hendak meningkatkan kualiti atlet kita. Pandelela Rinong sudah dan Bonnie Bunyau pun sudah. Kita mahu ramai lagi atlet kita yang mempunyai prestasi antarabangsa,” ujarnya.

Hadir sama ialah Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Belia & Sukan Dan Pembangunan Usahawan (Belia & Sukan) Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (Pembangunan Usahawan) Dr. Ripin Lamat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan, dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Morshidi Fredrick.-Edisi UKAS

add comment