KHAMIS, 9 FEBRUARI 2023
BETONG: Pelajar dari kalangan B40 kini berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi hasil inisiatif Kerajaan Sarawak menubuhkan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam, sekolah tersebut bukan sahaja menyediakan pendidikan berkualiti malah secara percuma kepada pelajar B40.
“Idea ini dicetuskan oleh YAB Premier Sarawak sendiri dengan inisiatif memberi pendidikan berkualiti kepada rakyat Sarawak berdasarkan perubahan berterusan dalam dasar pendidikan Kerajaan Persekutuan.
“Ini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak dalam menyediakan sekolah yang bertaraf antarabangsa untuk anak-anak Sarawak.
“Oleh itu tidak mustahil jika dengan azam dan usaha yang dicetus oleh anak-anak kita nanti akan turut di kalangan dari Kampung Medang di sini,” katanya berucap semasa merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Kebangsaan Medang pada Rabu.
Beliau juga memaklumkan akan menggunakan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk menaiktaraf tapak perhimpunan SK Medang.
Tambahnya, permohonan untuk menaiktaraf gelanggang futsal berbumbung Kampung Medang pula akan dimasukkan dalam peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023.
Mohamad Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas juga memohon ketua kampung untuk mencari tapak tanah bagi cadangan membina padang bola sepak baru untuk Kampung Medang.
Katanya, ia berikutan padang kampung yang telah dibangunkan oleh pihak sekolah untuk tujuan pembangunan bilik darjah telah digunakan.
Seramai 16 pelajar Tahun 6 iaitu empat lelaki dan 12 perempuan menyertai Majlis Khatam tersebut. – EDISI UKAS