JUMAAT, 10 FEBRUARI 2023
BINTULU: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) iaitu menaik taraf Dewan Suarah Bintulu kini telah siap sepenuhnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Phang Leong Ming berkata, ia boleh dibuka semula untuk tempahan dan sewaan orang awam sebagai tapak aktiviti.
Katanya, ini sekaligus menjana dana penyelenggaraan dewan berkenaan pada masa akan datang.
“Projek RTP tersebut merangkumi kerja-kerja menaik taraf prasarana yang dijalankan termasuk penambahan lampu LED di dalam bangunan Dewan Suarah, di laluan pejalan kaki, di kawasan tangga dan ruang legar Dewan Suarah.
“Selain itu, kipas siling dan kipas dinding juga dipasang di sekitar ruang dewan tertutup dan pentas utama dewan yang bertempat di tingkat satu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau dan menyerahkan projek itu kepada pihak pengurusan Dewan Suarah Bintulu di sini pada Jumaat.
Justeru, beliau menyeru pihak pengurusan dewan itu untuk mempergiatkan lagi aktiviti promosi dewan tersebut ke semua platform.
“Pihak pengurusan seharusnya lebih gigih mempromosikan Dewan Suarah kepada orang awam melalui media cetak dan juga media sosial kerana mempunyai ruang yang lapang untuk menjalankan aktiviti sosial dan kemasyarakatan selain jamuan makan,” ujar Johnny Phang lagi.
Selain itu, ADUN Tanjung Batu itu turut menyampaikan aduan awam berkenaan keadaan tandas yang buruk dan kotor kepada pihak pengurusan Dewan Suarah di samping memeriksa keadaan gelanggang skuash telah lama diketepikan dan berkeadaan uzur.
Ujarnya, beliau akan melakukan perbincangan bersama dengan pihak yang berkenaan mengenai keperluan penyelenggaraan gelanggang tersebut.
Hadir sama, wakil Dewan Suarah Bintulu Aiddel Sufri Bujang, Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu Ngu Tie Hua, dan Pegawai Tadbir Pejabat Residen Bahagian Bintulu Mohd Amirul Valentine Laiseh.-Edisi UKAS