Ibu Bapa Perlu Praktikkan Pembelajaran Di Rumah

JUMAAT, 10 FEBRUARI 2023

MIRI: Ibu bapa perlu mengambil inisiatif untuk memahami aspek pendidikan yang dilaksanakan di Taman Bimbingan Kanak-kanak (TABIKA) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA). 

Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, ini bagi memastikan kesinambungan dan konsisten terhadap proses pembelajaran bagi anak-anak mereka sama ada di TABIKA, TASKA mahupun di rumah.

“Sokongan berterusan ibu bapa akan dapat membantu mencapai aspirasi negara untuk menyediakan platform awal ke arah melahirkan modal insan yang cemerlang dan gemilang.

“Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik di hadapan anak-anak agar mereka dibesarkan dalam suasana yang penuh kasih sayang dan harmoni. 

“Luangkanlah masa yang berkualiti bersama anak-anak, bermain bersama dan ransangkan daya kreativiti anak untuk meningkatkan lagi imaginasi mereka,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Miri Kaunselor Ernest Goh Khiok Seng yang mewakili beliau dalam Majlis Apresiasi Kanak-Kanak TABIKA dan TASKA PERMATA EMAS Peringkat Parlimen Miri di Miri pada Khamis. 

Jelasnya lagi, ibu bapa dan ahli keluarga merupakan pengasuh paling penting dan mempunyai pengaruh yang besar terhadap perkembangan sahsiah kanak-kanak. 

“Oleh itu, peranan mendidik anak-anak bukan sahaja tanggungjawab guru semata-mata tetapi ia bergantung kepada ibu bapa itu sendiri bagi membantu pembangunan insan dan pembinaan nilai budaya serta moral anak-anak,” ujarnya. 

Majlis tersebut merupakan acara tahunan yang dilaksanakan setiap tahun bagi menghargai serta meraikan kejayaan kanak-kanak yang telah berjaya menamatkan sesi pembelajaran mereka di peringkat TABIKA dan TASKA.

Ia menyaksikan seramai 203 orang kanak-kanak berumur 6 tahun dan 26 orang kanak-kanak berumur 4 tahun menamatkan sesi pembelajaran di TABIKA dan TASKA KEMAS peringkat Parlimen Miri bagi sesi tahun 2022/2023.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak Roselind Wilson Laing, Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Miri Josipah Sabas, Pengerusi Jawatankuasa TABIKA dan TASKA KEMAS Parlimen Miri Foziah Karim dan Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. Becklyne Miles. -Edisi UKAS

add comment