Jawatankuasa Kepolisan Komuniti Daerah Debak Diwujudkan, Tangani Gejala Sosial

JUMAAT, 10 FEBRUARI 2023

BETONG: Satu Jawatankuasa Kepolisan Komuniti bagi membantu pihak polis telah diwujudkan bagi mengurangkan gejala sosial di Debak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti, Mohammad Razi Sitam berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan penting bagi memastikan masyarakat di daerah berkenaan bebas daripada ancaman masalah sosial.

Menurut beliau, “Seperti semua sedia maklum, isu masalah gejala sosial, seperti gejala penagihan dadah, kecurian, dan pengedaran pil semakin berleluasa di daerah Debak”.

”Oleh sebab itu saya memahami terdapat luahan daripada pihak ketua kaum dan ketua masyarakat untuk bekerjasama dengan pihak polis bagi untuk mengurangkan isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Dewan Perwira Balai Polis Debak di sini pada Khamis.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas juga mengingatkan peranan setiap ketua kampung atau tuai rumah untuk menerangkan kepada penduduk kampung agar tampil ke hadapan sekiranya memiliki sebarang maklumat berkaitan kes gejala sosial dan terus melaporkannya kepada pihak polis.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Betong, DSP Zamry Alli, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Debak Mohd Hafiz Kepli, Temenggong Kaum Melayu Betong Piee Alwi, Penghulu Kampung Melayu Debak Abang Kifrawi Abang Rukaili dan Penghulu Iban Debak Kadam Ot. -Edisi UKAS.

add comment