Pelihara, Kekalkan ‘ Ngepan Iban’

JUMAAT, 10 FEBRUARI 2023

MIRI: Pakaian tradisional masyarakat Iban iaitu ‘Ngepan Iban’ perlu terus dipelihara dan dikekalkan.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, ia adalah bagi memastikan pakaian tradisional itu tidak tidak hilang ditelan zaman.

Menurutnya, generasi muda masa ini perlu didedahkan dengan keunikan dan keistimewaan pakaian tradisional berkenaan.

Beliau berkata demikian dalam Simposium Ngepan Iban Peringkat Negeri Sarawak di sini pada Jumaat.

Datuk Dr. Penguang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Simposium berkenaan menambah, simposium yang diadakan itu menjadi platform untuk melakukan perbincangan bagi memajukan serta mempertahankan pusaka asal kaum Iban  dan seterusnya mengembangkannya ke peringkat yang lebih tinggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu juga berkata, simposium berkenaan juga bertujuan bagi mempamerkan ‘Ngepan Iban’ yang merupakan simbol warisan kaum Iban supaya ianya dapat dikenali serta dipelajari oleh generasi baru dan kaum-kaum lain di Sarawak.

Menjelas lanjut katanya, ia juga adalah bagi mempamerkan keindahan kostum kontemporari yang direka berinspirasikan ‘Ngepan Iban’ seterusnya mengangkat konsep rekabentuk itu untuk menjadi menjadi satu fesyen pada masa kini.

Justeru, beliau menyeru peserta untuk menggunakan peluang tersebut untuk menimba ilmu dalam mempelajari dan memperhalusi ‘Ngepan Iban’ seperti temanya pada tahun ini iaitu  “Ngepan Pesaka Bansa, Uyungkak Pemansang Ekonomi Bansa Iban’.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi 1 Program Simposium Ngepan Iban Peringkat Negeri Sarawak Edward Mendai yang turut berucap memberitahu, program itu diadakan dengan kerjasama antara Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta dan agensi kerajaan.

Simposium Ngepan Iban Peringkat Negeri Sarawak diadakan selama dua hari yang dihadiri oleh 310 orang peserta dari seluruh Sarawak.

Penyertaan program itu melibatkan individu daripada pelbagai latar belakang termasuk Ketua-Ketua Masyarakat, Ketua-Ketua Kaum, penggiat seni, ahli akademik serta anak-anak muda dari pelbagai NGO seluruh Sarawak.

Pakar-pakar ‘Ngepan Iban’ turut dijemput dari seluruh Sarawak bagi tujuan simposium ini.-Edisi UKAS

add comment