RM1.33 Juta Diperuntuk Laksana Projek RTP Di Bukit Saban

JUMAAT, 10 FEBRUARI 2023

BETONG: Sebanyak RM1.33 juta peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) menerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban yang juga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas disalurkan untuk melaksanakan projek di kawasan tersebut pada tahun 2023.

Perkara itu dimaklumkan oleh Penolong Jurutera Awam dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong, Abang Rafiezul Abang Noria semasa mengetuai lawatan ke tapak Projek RTP pada Rabu.

Katanya, tujuan lawatan adalah untuk memperhalusi dan memuktamadkan spesifikasi beberapa projek yang telah disenaraikan di bawah peruntukan projek RTP tahun 2023 dengan JKR Bahagian Betong selaku agensi pelaksana.

Selain itu, tujuan lawatan tersebut juga untuk bersemuka dan berbincang dengan penerima berkaitan dengan projek yang bakal dilaksanakan di komuniti masing-masing.

Hasil perbincangan, sebanyak tujuh projek telah dipersetujui termasuklah naik taraf prasarana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh bernilai RM150,000, pembinaan semula Jambatan i-Beam Nanga Bangkit Spaoh bernilai RM300,000, naik taraf prasarana di rumah panjang Rapong, Debak bernilai RM200,000 dan naik taraf Jalan di bahagian hadapan dan bahagian belakang Rumah Panjang Nanga Lop, Debak bernilai RM150,000.

Projek lain termasuk membina jalan di bahagian belakang Rumah Panjang Babu Kerangan, Debak bernilai RM200,000, naik taraf jalan akses ke Rumah Panjang Baru Nanga Ulai, Debak bernilai RM150,000 dan naik taraf prasarana Rumah Panjang Beduru Paku, Spaoh bernilai RM180,000. – Edisi UKAS

add comment