Sekolah Daif Di Sarawak, Sabah Fokus Bajet 2023

JUMAAT, 10 FEBRUARI 2023

KAPIT: Isu sekolah daif di kawasan pedalaman Sarawak dan Sabah akan diberi perhatian khusus dalam pembentangan Bajet 2023 pada 24 Februari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata pembangunan sekolah di Sarawak juga tersenarai dalam projek di bawah RM50 juta yang diturunkan kuasa sepenuhnya kepada kerajaan negeri untuk melaksanakannya.

Ahli Parlimen Hulu Rajang itu menegaskan pendidikan amat penting untuk semua sambil berkata pelajar hari ini sangat beruntung kerana memiliki banyak fasiliti pembelajaran untuk keselesaan mereka.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SMK Selirik Tahun 2022 di Dewan Setia Kasih SMK Selirik, Kapit pada Jumaat.

Dalam ucapannya juga, beliau menggesa ibu bapa agar memantau aktiviti anak-anak mereka bagi mengelak terjebak dalam masalah dadah yang menjadi ancaman kepada sekolah.

Beliau juga menasihati pelajar tingkatan 5 agar bersedia menghadapi peperiksaan SPM yang akan datang.

Pada majlis sama, Datuk Wilson turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 kepada PIBG SMK Selirik, RM5,000 untuk guru dan RM10,000 untuk PPD Kapit.

Datuk Wilson juga meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) untuk membuat anggaran kos baik pulih pintu pagar sekolah berkenaan. – EDISI UKAS

add comment