JUMAAT, 10 FEBRUARI 2023
BINTULU: Para pelajar perlu menunjukkan sikap positif kerana ia merupakan pemangkin kepada kecemerlangan dalam pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, sikap seumpamanya juga akan mempengaruhi kecenderungan seseorang pelajar bertindak untuk mendapatkan sesuatu yang dihasratkan.
Jelasnya, ciri orang yang cemerlang dan positif untuk berjaya adalah yang berupaya menangani cabaran.
“Dengan sikap positif, kita dapat membantu diri kita untuk berjaya dalam pendidikan dan karier pada masa hadapan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (MAPC) SMK Bandar Bintulu Sesi 2022/2023 di sini pada Khamis.
Johnny Pang menambah, sikap positif sememangnya diakui dapat menjadi pemangkin kejayaan seseorang apatah lagi jika sikap ini dapat dijelmakan dalam pengurusan dan kehidupan bermasyarakat.
“Justeru, sikap positif akan mendorong semangat kerja berpasukan yang lebih baik dan sudah pasti ia akan melahirkan lebih ramai individu, pekerja mahupun masyarakat yang bersikap positif untuk mencapai sesuatu kejayaan yang diinginkan,” jelasnya lagi.
Hadir sama dalam majlis itu ialah, Pengetua SMK Bandar Bintulu Rubiah Taip, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Sektor Pengurusan Sekolah) Law Siong Lee, Pegawai Perhubungan Sekolah ASP Julius Panai Anthony Paru dan Yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bandar Bintulu Edwin Wong Ing Hoe. – EDISI UKAS