Ibu Bapa, Para Guru Tulang Belakang Kejayaan Anak-Anak

SABTU, 11 FEBRUARI 2023

SARIKEI: Ibu bapa dan para guru memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu mencorakkan masa depan anak-anak dan para pelajar.

Wakil kepada Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Ling Kwong Hung berkata, semua pihak perlu berganding bahu dalam membantu mencipta kejayaan anak-anak dalam bidang pendidikan.

“Kejayaan anak-anak merupakan satu anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran kepada tuan-tuan dan puan-puan sebagai ibu bapa mereka.

“Anugerah yang diberikan pada hari ini merupakan penghargaan pihak sekolah kepada para murid yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pembelajaran pada tahun ini,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam Majlis Peranugerahan Kecemerlangan Tahun 2022 SMK Tong Hua pada Jumaat.

Tambah beliau, banyak halangan dan kekangan sukar perlu ditempuhi dalam melahirkan generasi berilmu.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada ibu bapa dan para guru yang telah menjadi tulang belakang sehingga membuahkan kejayaan untuk anak-anak. 

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Meradong Sharifah Idawati Wan Ahmad, Pengetua SMK Tong Hua Law Sie Ngo, dan wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru Tiong Chiong Sang. -Edisi UKAS

add comment