SABTU, 11 FEBRUARI 2023
DEBAK: Pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan agar berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan yang terbaik.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Mohammad Razi Sitam berkata ini kerana keputusan SPM akan menentukan hala tuju para pelajar samada untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memohon pekerjaan.
Katanya, peluang pekerjaan yang paling banyak bukan dalam sektor perkhidmatan awam akan tetapi di dalam bidang minyak dan gas, kejuruteraan, binaan, arkitek dan pelbagai lagi.
“Di peringkat Kerajaan Sarawak, di bawah Kepimpinan YAB Premier kita Datuk Patinggi Abg Jo, kita di Sarawak ada program yang kita panggil sebagai ‘Graduates Enhancement Training Sarawak’ (GETS) untuk diploma ataupun ijazah turut diberi elaun dan berkonsepkan latihan.
“Jika ada di antara pelajar-pelajar kita di sini yang berjaya menamatkan Pendidikan Sijil Diploma atau Ijazah, boleh memohon Program GETS tersebut.
“Ambil peluang ini, kerana ramai peserta program ini diserap masuk melalui interview dan diserap kerja di bawah Kerajaan Sarawak,” katanya berucap semasa merasmikan Majlis Apresiasi Dan Anugerah Kecemerlangan Murid SMK Saribas di Dewan Millennia Debak pada Jumaat.
Terdahulu, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu dalam ucapannya berkata peranan pendidikan telah berubah dengan jelas daripada fungsi tradisionalnya di mana para pelajar bukan sahaja datang ke sekolah untuk belajar, akan tetapi dididik untuk menjadi pewaris negara agar menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.
Katanya, hal ini memang selari dengan salah satu daripada bidang keberhasilan utama negara iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.
Dalam hal ini, beliau berkata sistem pendidikan di Sarawak mestilah sentiasa dinamik dan progresif serta bersedia untuk melalui proses perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.
Dr. Richard Rapu kemudiannya menyampaikan sumbangan cek kepada barisan PIBG Sekolah-Sekolah di bawah DUN Saribas dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM90,000.
Seramai 250 orang pelajar yang telah menerima Sijil Anugerah masing-masing dalam majlis tersebut. – EDISI UKAS