Kerjasama Erat Guru & Ibu Bapa Bantu Kejayaan Pelajar

SABTU, 11 FEBRUARI 2023

MARUDI: Kerjasama erat antara guru dan ibu bapa amat diperlukan bagi memastikan kejayaan anak-anak mereka dalam pelajaran.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, kecemerlangan murid di sesebuah sekolah seterusnya akan memberikan impak positif dalam setiap aspek. 

“Kejayaan seseorang pelajar perlu juga seiring dengan disiplin yang tinggi. Prestasi mereka juga adalah hasil dari gabungan antara murid, ibu bapa dan guru. 

 “Justeru, setiap pihak perlu seiring dan bergerak bersama,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang dan Graduasi Pelajar Tingkatan 5 Tahun 2022/2023 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telang Usan di sini pada Sabtu. 

Datuk Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menambah, penganugerahan pelajar cemerlang ini dapat memberi motivasi kepada pelajar lain untuk belajar bersungguh-sungguh. 

“Selain itu, ia juga memberi semangat ingin bersaing antara sesama rakan pelajar yang telah  mendapat kecemerlangan,” ujarnya. 

Dalam majlis tersebut turut disampaikan cek projek kecil luar bandar (MRP) kepada Kelab Kebajikan Guru berjumlah RM5,000 dan sebanyak RM10,000 untuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Telang Usan. 

Turut hadir, Pengetua SMK Telang Usan Rechard Emang, Pegawai di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Marudi Inspektor Irwin Geoffery Ussan dan Yang Dipertua PIBG SMK Telang Usan Mika Mus Agan. -Edisi UKAS

add comment