Majlis Apresiasi Tadika/Taska Kemas Kanowit Rai 119 Kanak-Kanak

SABTU, 11 FEBRUARI 2023

SIBU: Seramai 119 Kanak-kanak Tabika/Taska P210 Kanowit melibatkan 26 buah tabika dan dua taska diraikan dalam Majlis Apresiasi Tabika/Taska Kemas P210 Kanowit Siri 40 Sesi 22/23 yang diadakan di Rh Hotel, Sibu pada Jumaat.

Majlis tersebut disempurnakan oleh isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Puan Dinamicayanti yang turut mewakili Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI).

Berucap dalam majlis tersebut, Dinamicayanti berkata majlis Aspesiasi Tabika/Taska diwujudkan sebagai pengiktirafan kepada kanak-kanak yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik dan aktiviti kokurikulum.

“Kita akan menyaksikan para murid akan menerima sijil penghargaan dan saya ingin mengucapkan syabas serta saya yakin murid-murid ini akan menjadi waris yang bakal mendukung impian dan harapan negara,” katanya.

Selain itu katanya, penglibatan ibubapa di tabika/taska juga adalah penting agar ibu bapa dapat memahami perkembangan anak-anak mereka sepanjang berada di tabika ataupun taska.

“Penglibatan ibu bapa penting dalam perjalanan anak-anak kita dalam mencorak masa depan mereka,” katanya lagi.

Majlis turut diserikan dengan persembahan oleh kanak tabika kemas P210 Kanowit.

Selain itu, Dinamicayanti turut menyampaikan sumbangan dalam bentuk tunai kepada Kemas Kanowit.

Turut hadir Pegawai Operasi Bahagian Pendidikan Awal Kanak-kanak Ibu Pejabat Kemas Negeri Sarawak Zuraidah Jemeli yang mewakili Pengarah Kemas Negeri Sarawak, wakil dari Pejabat Daerah Kanowit Clinton Jelai, Pegawai Kemas Kanowit Siti Ja’auyah Ismail, ibu bapa dan tetamu lain. – EDISI UKAS

add comment