SABTU, 11 FEBRUARI 2023
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk menarik balik pengenaan cukai jualan (SST) sebanyak lima peratus ke atas tayar kenderaan import.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ia adalah untuk membuka peluang penyelidikan dan inovasi bagi meneroka kemungkinan menukar tayar lama menjadi pelet untuk pembinaan jalan raya.
“Saya juga ada membaca jurnal bahawa getah ini dapat menjadi pelet.
“Jika anda pecahkan tayar menjadi pelet, pelet itu boleh digunakan untuk pembinaan jalan raya.
“Jadi apa yang perlu dilakukan oleh ACCCIS, anda boleh membentuk kilang, kumpulkan semua tayar, pecahkan tayar dan kemudian pecahkan menjadi kepingan kecil sehingga menjadi pelet untuk jalan kita.
“Ini adalah teknologi dan oleh itu saya bersetuju menghapuskan SST dan biarkan mereka lakukan inovasi terhadap apa yang perlu dilakukan dengan tayar kerana kita tayar itu tidak begitu mesra alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan The Associated Chinese Chambers of Commerce and Industry of Sarawak (ACCCIS) Chinese New Year Grand Dinner 2023 di Kuching, pada Jumaat.
Datuk Patinggi Tan Sri Bang Zohari menambah, usahawan belia perlu dilatih supaya mereka dapat memainkan peranan dalam pembangunan di negeri ini berlandaskan era ekonomi baru.
Sehubungan itu, beliau memberikan sebanyak RM500,000 kepada ACCIS untuk melatih usahawan belia.
“Saya ingin menyatakan di sini bahawa kita juga perlu melatih usahawan muda supaya mereka boleh memainkan peranan mereka.
“Seperti yang saya janjikan kepada ACCCIS, saya akan memberikan anda RM500,000 untuk dana anda melatih para usahawan.
“Mari kita bekerja keras membina ekonomi ke era baru, ekonomi baru dan saya juga berusaha mendapatkan lebih banyak hasil untuk negeri.
“Saya cuba yang terbaik dan kemudian kita boleh berkongsi dan membangunkan Sarawak bersama-sama,” ujarnya
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr Sim Kui Hian serta Isteri Datin Sri Eng Onn, Konsul Jeneral Cina di Kuching, Xing Wei Ping, Konsulat Jeneral Negara Brunei Darussalam di Kuching, Noni Zurainah Ismi, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan dan Pembangunan Ekonomi), Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Ir. Lo Khere Chiang, Presiden Persekutuan Perniagaan Sarawak, Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg, President ACCCIS, Dato Tan Jit Kee, Setiausaha Agung ACCCIS, Dato Jonathan Chai Voon Tok serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS