AHAD, 12 FEBRUARI 2023
MIRI: Peranan dan kerjasama ibu bapa serta masyarakat amat penting dalam memastikan perkembangan positif anak-anak istimewa.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, ibu bapa perlu sentiasa bekerjasama dengan pusat Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) selain menggalas tanggungjawab besar dalam menentukan hala tuju dan masa depan anak-anak yang istimewa.
Justeru itu katanya, setiap pihak tidak harus lalai dalam mengendalikan golongan tersebut bagi menjamin perkembangan mereka.
“Kanak-kanak istimewa ini terdiri daripada pelbagai latar belakang antaranya masalah pembelajaran, masalah fizikal, mental atau pendengaran. Maka, penerimaan mereka terhadap suatu proses latihan dan terapi juga berbeza-beza.
“Apabila seseorang anak istimewa dilahirkan dalam sebuah keluarga, ibu bapa sedar akan pelbagai cabaran yang bakal dihadapi,” katanya dalam Majlis Apresiasi dan Makan Malam PPDK Sunflower Miri 2023 di Miri pada Sabtu.
Dato Sri Lee menambah, ibu bapa bukan sahaja perlu menangani isu dari segi kewangan dan masa, malahan mereka perlu berdepan dengan emosi diri dan reaksi daripada ahli keluarga, saudara mara, kawan-kawan dan masyarakat luar.
Dalam perkembangan lain, Dato Sri Lee mengucapkan tahniah kepada PPDK Sunflower Miri atas pencapaian tahun 2022 yang mana mereka berjaya memenangi dua anugerah iaitu ‘The State Level 5 Star Rating Community Based Rehabilitation Center’ serta ‘The Best National Level Community Based Rehabilitation Center’.
Seterusnya, beliau mengumumkan peruntukan sejumlah RM20,000 untuk keperluan pusat tersebut.
Hadir sama Pengerusi PPDK Sunflower Miri Samson Bala Palaba, Penyelia PDK Sunflower Miri Liza Chai serta Ahli Jawatankuasa PPDK Sunflower Miri. -Edisi UKAS