Pejalan Kaki Dinaik Taraf, Tingkat Keselamatan Warga SJK(C) Siong Boon

AHAD, 12 FEBRUARI 2023

BINTULU: Projek naik taraf pejalan kaki berbumbung SJK(C) Siong Boon yang telah siap sepenuhnya mampu memberikan kesenangan dan keselamatan kepada warga sekolah terutamanya para pelajar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata, projek yang dilaksanakan di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) itu merangkumi skop menaik taraf pejalan kaki yang asalnya bertapak simen kepada pebble wash.

“Lantai pebble wash dapat mengatasi masalah kelicinan terutamanya ketika hari hujan.

“Ini akan mengelakkan warga sekolah serta ibu bapa daripada tergelincir selain menambah keceriaan kawasan sekolah,” katanya ketika merasmikan pejalan kaki tersebut di SJK (C) Siong Boon di sini pada Sabtu.

Johnny menambah, selain projek tersebut, beliau turut memperuntukkan projek RTP kepada sekolah itu bagi tujuan penyelenggaraan, pembersihan dan projek keceriaan dalam kawasan sekolah.

“Saya juga akan memberi peruntukan kepada pihak sekolah berdasarkan kesesuaian untuk menaik taraf prasarana serta kelengkapan demi kebajikan dan manfaat warga sekolah,” katanya lagi.

Hadir sama, Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu Ngu Tie Hwa, Pengerusi Lembaga Pengurusan SJK(C) Siong Boon Lee Lek Kiek dan Guru Besar SJK(C) Siong Boon Chin Boon Shin. -Edisi UKAS

add comment