Sarawak Akan Bekerjasama Dengan Indonesia Bangunkan Empangan Hidroelektrik Di Nusantara

AHAD, 12 FEBRUARI 2023

KUCHING: Kerjasama antara Sarawak dengan negara Indonesia akan terus terjalin menerusi pembangunan empangan hidroelektrik yang dicadangkan di Nusantara.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, cadangan untuk membina empangan hidroelektrik di ibu kota baharu negara tersebut kini sedang dikaji.

“Kita mempunyai satu cadangan yang sedang dikaji antara Indonesia dengan Sarawak untuk bangunkan empangan hidroelektrik di Nusantara,” katanya dalam Majlis Apresiasi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di sini pada malam Sabtu.

Sementara itu Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyokong usaha Sarawak untuk menjual tenaga elektrik kepada negara Singapura dalam satu perjanjian di mana negara republik itu sebaliknya akan membawa pelaburan baharu ke negeri ini.

“Pada mulanya mereka agak berwaspada, tetapi sekarang mengakui bahawa kita boleh menjual elektrik kepada Singapura dengan had siling sebanyak 1,000 MW.

“Ini dilakukan dengan syarat sekiranya terdapat sebarang pelabur yang datang ke negara tersebut yang berkendakkan tenaga termasuk untuk pusat data dan ekonomi baharu, maka Singapura akan menghantarnya ke Sarawak.

“Ini bermakna, terdapat hubungan rapat antara Singapura dengan kita dan ini termasuk juga dari sudut perdagangan karbon,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Premier Sarawak menegaskan, langkah-langkah ini menunjukkan bahawa Kerajaan GPS bukan sahaja komited untuk membangunkan negeri ini malahan juga berusaha untuk menyumbang kepada pembangunan negara-negara jiran. -Edisi UKAS

add comment