ISNIN, 13 FEBRUARI 2023
LIMBANG: Daerah Limbang tidak akan dipinggirkan dalam pengagihan peruntukan melalui Bajet 2023 dari Kerajaan Persekutuan.
Menurut Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, selain meneruskan projek-projek yang telah diluluskan oleh kerajaan terdahulu terdapat projek lain yang dinantikan oleh warga Limbang iaitu projek pembinaan bangunan Hospital Pakar.
“Saya difahamkan pada bulan Jun nanti Hospital Limbang akan mempunyai lapan kepakaran, cuma kita di Limbang belum mempunyai bangunan untuk menempatkan pakar-pakar ini dan kemudahan ini sangat penting bagi kita di Daerah Limbang.
“Jadi kita berharap permohonan ini akan dipertimbangkan sebaik-baiknya dan dapat dibina secepat mungkin untuk memberi kemudahan kepada masyarakat di Limbang dan Lawas sebagai Hospital rujukan,” katanya semasa ditemui pemberita pada Perasmian Mini Karnival Hari Radio Sedunia Limbangfm 2023 di Perkarangan Bangunan RTM Limbang pada Ahad.
Dalam perkembangan yang sama, Datuk Dr Abdul Rahman juga berharap kerajaan Persekutuan akan mempercepatkan pembinaan Klinik Kesihatan Limbang untuk menempatkan pesakit luar dan juga Pejabat Kesihatan Bahagian Limbang.
Beliau berpendapat kedua-dua kemudahan tersebut sangat penting untuk rakyat dan seterusnya mendoakan Kerajaan Perpaduan akan kekal sehingga tempohnya berakhir dan Malaysia tidak lagi terjejas dengan perubahan kepimpinan negara dalam tempoh yang singkat.
Mini Karnival ini berlangsung selama dua hari bermula 11 hingga 12 Februari dengan menganjurkan pelbagai aktiviti menarik seperti senam tari, derma darah, saringan kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak TABIKA, pertandingan lato-lato, perlawanan persahabatan bola tampar, pertandingan karaoke, ‘fun run’, demo kebakaran dari pihak bomba dan pertandingan gubahan bunga.
Sebelum acara rasmi berlangsung Datuk Dr Abdul Rahman Ismail telah melepaskan peserta ‘fun run’ sempena Hari Radio Sedunia Limbangfm 2023 yang mana difahamkan seramai 77 orang peserta menyertai program tersebut.
Turut diadakan aktiviti jualan di sekitar perkarangan bangunan RTM Limbang dari pagi hingga ke sebelah petang.- EDISI UKAS