Generasi Muda Perlukan Badan Sihat

ISNIN, 13 FEBRUARI 2023

MARUDI: Generasi muda memerlukan badan yang sihat untuk bersama-sama dengan kerajaan sedia ada bagi memacu kecemerlangan Wilayah Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Dato Gerawat Gala, penganjuran program Penutupan Kejohanan Bola Sepak anjuran Kelab SOKANJAYA Jabatan Kerja Raya (JKR) Marudi pada Ahad dilihat mampu membentuk masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat supaya menjadi amalan dalam kehidupan seharian.

Program ini menawarkan bukan saja ruang bagi keluarga melakukan acara sihat pada hujung minggu, malah aktiviti yang dianjurkan berupaya menerapkan kesedaran untuk menjadikan amalan bersukan sebagai rutin harian setiap individu.

Kejohanan ini telah bermula pada Jumaat bertempat di perkarangan Pejabat Jabatan Kerja Raya Marudi dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari peminat bola sepak termasuk di sekitar rumah-rumah panjang.

Sebanyak 12 buah pasukan telah menyertai pertandingan ini di mana KESURA FT mendapat tempat pertama dengan membawa pulang hadiah  wang tunai berjumlah RM300, piala dan medal.

Tempat kedua disandang Total Football dari Sekolah Menengah Kebangsaan Marudi untuk menerima wang tunai sebanyak RM200, piala dan medal.

Manakala tempat ketiga dimenangi Nyakat FC untuk membawa pulang wang tunai RM100, piala dan medal.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Pegawai Menguasa Jabatan Kerja Raya Marudi Wan Abdul Hamid Wan Seman, wakil Pegawai Daerah Marudi Reagen Edwin dan Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Bundan. – EDISI UKAS

add comment